Jumaat, 8 Februari 2013

Cerpen : Subjek No. 15





Siap! Dokumen yang berselerak di atas meja aku kemas dengan pantas. Sebentar lagi, ada mesyuarat dengan klien syarikat. Aku mahu lapangkan fikiran dari kerja yang masih melambak-lambak menunggu giliran untuk dilangsaikan.
“Nampak abang Ashraff tak?”
Aku angkat muka. Terkejut juga aku bila melihat wajah yang bertanya.
“Tak,” aku jawab sepatah.
“Dia kerja tak hari ini?”
“Tak perasan pulak,” balas aku sambil menjungkitkan bahu.
Dia memandang aku sejenak. Aku membalas pandangan itu dengan penuh tanda tanya.  Aku dah dengar tentang reputasinya itu. Takkan dia nak try aku juga? Hmm.. tapi tak nampak seperti itu pun. Mungkin semua itu cuma khabar angin. Maklumlah dia ni jenis yang ada rupa juga.
“Okeylah, Nadiya,” ucapnya kelihatan seperti mahu beransur pergi.
Aku mengangguk sebelum bangun dengan tergesa-gesa.
Busy?” dia masih mahu berbual rupanya.
“Ada meeting,” balasku mengukir senyuman.
Dia mengangguk. Ada riak kecewa terpamer pada wajahnya. “Okey then, see you around.

***
Aku melihat jam tangan. Alamak! Sudah hampir jam 8 malam. Huh! Aku menekan butang lif berkali-kali walaupun aku tahu kalau aku tekan seribu kali pun, pintu lif itu tidak akan terbuka dengan sekelip mata.
Ting! Aku sedikit lega bila pintu lif itu terbuka seperti pintu gua dalam cerita Ali Baba. Cepat-cepat aku melangkah masuk ke dalamnya. Pantas juga aku menekan punat untuk menutup rapat pintu tersebut. Tapi, tiba-tiba ada tangan menghalang pintu tersebut dari tertutup. Seorang lelaki melangkah masuk.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.”
“Lambat balik hari ini?” tegurnya.
Aku tersenyum tidak menjawab. Hati aku masih risau memikirkan waktu yang begitu cepat meninggalkan aku.
“Biasa balik lambat macam ni?”
“Taklah, kadang-kadang je bila ada benda urgent nak settle.”
Drive ker?”
Aku menggeleng.
“Ada orang jemput?
Aku menggeleng lagi.
Public transport?
“Ya.”
Ting! Lif sudah sampai ke lobi. Aku melangkah keluar, aku harus bergerak pantas kalau tidak mahu ketinggalan tren.
“Nadiya.”
Aku menoleh.
“Jom minum dulu, nanti saya hantar awak balik.”
Aku kaget seketika tapi pantas menjawab. “Thanks, tapi saya nak balik cepat. Sorry ek!”
Dia mengukir senyum segaris. “Maybe, next time?
“Ya, maybe next time. Bye.” Kaki aku melangkah pantas meninggalkan dia yang masih memerhatikan aku.  
***

Meja kosong yang terletak berhampiran mesin fotostat itu sudah ada penghuninya. Baru sekarang aku menyedarinya. Hmm.. siapa yang menggantikan tempat Ilias?
“Nadiya dah datang. Sukalah si Zairul kalau kamu datang.”
Zairul? Aku buat endah tak endah jer dengan kata-kata yang keluar dari mulut Kak Mai. Apa maksudnya pun aku tidak faham.
Tiba-tiba lelaki itu muncul.
“Zairul, ni haa.. Nadiya dah datang.”
Kak Mai sudah tersenyum-senyum. Lelaki itu pula aku lihat buat-buat tak dengar. Hmm… mereka ada bercerita tentang aku ker? Namun minda aku yang sarat dengan dokumen-dokumen yang harus aku sediakan mendahului rasa ingin tahu aku itu. Lantaklah kalau mereka mahu bergosip tentang aku, bukannya luak pun.
***
Jam sudah menunjukkan pukul satu suku. Perut aku sudah berbunyi-bunyi. Sebenarnya aku tidak berhajat hendak keluar makan tengahari tapi rasa lapar itu telah mengambil alih peratusan hajat aku itu. Aku mempercepatkan langkah aku.
“Nadiya nak ke mana tu?”
Aku menoleh ke arah suara yang menegur.
Lunch, Kak Mai.”
“Akak join sekali, akak pun belum makan lagi.”
“Jomlah. Nak makan kat mana?” Kalau ikuutkan aku, dah tentulah bungkus dan bawa balik. Makan kat pantry.
“Jom kita makan kat restoran tomyam kat belakang.”
“Okey, boleh jer.”
Kami masuk ke dalam restoran yang agak sesak ketika itu. Nasib baik, ada meja kosong. Tidaklah kami tercari-cari. Kak Mai menggamit salah seorang pekerja untuk mengambil pesanan.
“Lambatnya Nadiya keluar.”
Busy kak.”
“Sibuk mana pun makanan kena jaga. Akak selalu perasan Nadiya tak keluar makan. Tak boleh macam tu.”
Aku sekadar mengangguk.
“Hei, Zairul!” Kak Mai sudah melambai-lambaikan tangan.
Aku berpaling. Kelihatan lelaki itu sedang melangkah menuju ke arah meja yang sedang kami duduki. Matanya singgah ke wajahku. Ada rasa tidak selesa terbit di hati.
“Dah makan?”
“Belum, Kak Mai.”
“Jomlah makan sekali,” pelawa Kak Mai.
Zairul pandang wajah aku. “Nadiya tak kisah, kan?”
Aku menggeleng walaupun kehadiran lelaki itu sedikit sebanyak menggugah selera makan aku. “Tak, duduklah.”
***
Langkah kaki aku percepatkan. Macam mana aku boleh terlupa yang aku ada kursus tiga hari bermula hari ini. Argh!
Aku ketuk pintu bilik seminar sebelum melangkah masuk ke dalamnya. Semua mata terarah kepada aku. Bilik itu sudah hampir penuh dengan peserta-peserta kursus. Mata aku mula melilau mencari kerusi yang belum dihuni.
You can sit beside that handsome guy.” Speaker yang mengendalikan kursus tersebut bersuara.
Aku menoleh ke tempat yang dimaksudkan. Guess what? Lelaki kacak yang dimaksudkan itu adalah Zairul. Lelaki itu tersenyum.
“Terlupa?” dia bertanya sambil menarik kerusi untuk aku.
“Yup.” Kening aku terjungkit sekali mengiyakan telahannya.
“Nasib baik awak ada. Saya tak kenal yang lain. Semua nampak macam otai jer,” bisik Zairul.
Aku pandang keliling. Memang ramai peserta kursus itu terdiri daripada mereka yang sudah berumur.
Tiba-tiba telefon bimbit aku berbunyi.
Zairul memandang aku. Aku buru-buru keluarkan telefon bimbit dari poket seluar. Ada pesanan ringkas masuk.
Boyfriend?
Aku gelak. “Ruben. Tanya pasal kerja.”
Semenjak itu aku dan Zairul jadi semakin rapat. Sebagai kawan satu syarikat dan kini satu jabatan yang sama. Aku sudah tidak kekok lagi bila berhadapan dengan dia. Sudah tidak kekok bergurau senda dan berbual mesra.
“Jom.”
“Jom?” Dahi aku berkerut tidak faham.
Dia memberi isyarat mata ke arah sebuah hotel berdekatan.
Aku gelak sambil menggelengkan kepala. Serius, kalau aku tidak kenal Zairul seperti sekarang, dah tentu aku tampar mulutnya biar lebam. “You must be kidding me. Awak nak test saya ker?
Dia tersengih cuma.
“Awak tahu saya bukannya orang yang macam itu ‘kan?” aku angkat kening.
“Nadiya, bila awak nak keluar date dengan saya?”
“Yang kita selalu lunch sama-sama tu bukan kira date ker?”
So, you consider me as your boyfriend? Friends don’t date, you know?
“Hihihi…” aku gelak.
I am serious, lagipun awak memang tak ada yang istimewa ‘kan?”
Aku pandang wajahnya. Sukar untuk ditafsirkan apa yang tersirat di sebalik pandangannya yang sedikit menggoda itu.
One date please? Sabtu ni? Kita berdua sahaja?”
Aku mengerlipkan mata beberapa kali. Berfikir.
“Awak tak percayakan saya ke?”
Aku jungkit bahu. Entahlah. Boleh percaya ke lelaki macam Zairul?
***

Zairul tiba di hadapan rumah dengan kereta Vios putih miliknya tepat seperti yang dijanjikan.
Shall we go for a movie?
Aku mengangguk. Kami tiba di sebuat pusat membeli belah setengah jam kemudian. Setelah membeli tiket wayang, kami masuk ke dalam panggung. Aku menurut sahaja langkah Zairul.
“Kenapa pilih seat yang paling belakang?”
“Ini jer seat yang tinggal,” balas Zairul sambil tersengih.
Iya ker? Aku pandang keliling. Sukar juga untuk menentukan kebenaran mahupun menidakkan kata-kata Zairul bila berada dalam keadaan yang gelap dan samar-samar begini.
“Duduklah, movie dah nak mula tu.” Zairul menarik lengan aku.
Dalam suasana yang kelam itu aku perasan Zairul sedang merenung aku. Aku membalas renungannya. Dia mencapai jemari aku lalu menggenggamnya. Aku cuba meleraikan tapi genggamannya menjadi semakin erat.
Can I kiss you?” bisiknya perlahan betul-betul di sebelah telingaku sambil jemarinya mengelus mesra jemari aku.
Aku tersentak. Bagai nak luruh jantung aku mendengarnya.
Or should we go somewhere else?” goda Zairul lagi.
“Zairul, the movie is about to start.” Aku menarik jemari aku pantas. Sempat lagi aku menangkap senyuman di bibirnya. Aku menggenggam jemari aku, cuba menghilangkan debaran di hati.
Zairul berdehem. Aku tidak begitu mengendahkannya, cuba fokus kepada cerita yang sedang bermula di layar. Aku baru hendak selesa bila lengannya pula melingkar di bahu.
“Zairul, don’t try me,” ucapku sambil mengalihkan lengannya perlahan dari bahu aku.
Zairul tidak berputus asa, dia mencapai semula jemari aku sebelum menggenggamnya erat-erat. Lebih erat sehingga aku tidak berdaya hendak meleraikannya.
“Boleh concentrate ke?” perli Zairul.
Aku terdiam. Tapi, sememangnya aku tidak dapat menumpukan perhatian sepanjang dua jam berada di dalam panggung tersebut. Hati aku jadi tidak keruan. Cemas. Risau. Segalanya bercampur baur.    
***
Enjin kereta dimatikan. Zairul menatap wajah aku.
How was the movie?
Nice,” jawabku pendek.
Dia tersenyum bermakna. “Ya ker?”
Aku senyap. Terasa wajahku hangat seketika.  Kalau dia bertanyakan jalan cerita, sungguh aku tidak tahu bagaimana mahu menjawabnya.
Dia menghela nafas panjang dengan tangannya masih pada steering kereta. “Serius Nadiya. Saya tak boleh fikir apa pun ketika cerita itu berlangsung. Saya cuma boleh fikirkan awak.”
Aku menggigit bibir. Tiba-tiba ada rasa halus menjelma di fikiran. “Terima kasih sebab bawa saya keluar.”
Aku menanggalkan tali pinggang keledar. Dia turut sama melakukan perkara yang sama.
“Nadiya?” Serunya ketika aku ingin membuka pintu kereta.
Aku berpaling. Dengan pantas dia memaut leher aku dan mengucup bibir aku. Aku jadi kaku sebentar. Tidak tahu bagaimana mahu bereaksi dengan tindakannya yang pantas dan tidak terduga. Sungguh aku tidak menyangka yang dia akan jadi setega itu.
Suasana jadi hening seketika bila dia berhenti. Dia menatap wajah aku. Renungan yang hangat. Separuh berbisik dia bersuara. “Can I do that again?
Wajah aku terasa hangat kembali. Hati aku bagai nak luruh. Jantung aku berdegup kencang. Aku pandang dia sejenak sebelum melangkah keluar dengan pantas dari kereta miliknya. Dia turut sama keluar dari kereta.
“Nadiya, I love you.
Tapi, kata-katanya itu langsung tidak terkesan di hati aku dek kerana tindakannya tadi. Ada rasa marah dan bengang mengasak diri. Kenapa aku biarkan dia mengambil kesempatan? Air mata aku menitik. Aku pejamkan mata sebelum meneruskan langkah tanpa menoleh ke belakang.

***
Semenjak peristiwa itu, aku cuba mengelak Zairul. Tapi, bagaimana mahu melakukan itu bila aku bekerja sebumbung dengannya.
“Nadiya, kenapa mengelak dari saya?”
No, I don’t.” Aku menidakkan.
“Jadi, bila boleh kita keluar lagi?”
“Saya rasa …”
“Awak rasa apa yang saya rasa?”
Dahi aku berkerut.
“Nadiya, petang ni. After office hour? Dinner, maybe?”
“Mungkin tidak,” suaraku sedikit bergetar.
Why?” riaknya tampak kecewa.
Aku senyap.
Why? Saya ada buat salah pada Nadiya?”
Patutkah aku berterus-terang? “You make me feel uncomfortable.”
Wajah Zairul sedikit berubah.
“Saya takut untuk keluar dengan awak lagi.” Kalau temujanji yang pertama, dia sudah berani-berani mengambil kesempatan sebegitu. Apatah lagi untuk temujanji yang kedua dan seterusnya. Aku tidak sanggup mengambil risiko itu.
“Tapi , Nadiya..”
“Maafkan saya,” potongku sebelum berlalu pergi dengan hati yang berat dan bersalah.
***
Seorang wanita datang bertemu aku hari ini. Lawa dan bergaya. Bila aku bertanyakan namanya, dia memberitahu bahawa aku tidak perlu tahu. Dia menyerahkan padaku sebuah buku. Katanya buku itu milik Zairul. Buku berwarna hitam itu tampak seperti sebuah buku laporan. Entah kenapa wanita itu menyerahkan kepada aku, aku tidak pasti sehinggalah buku itu aku buka dan selak lembarannya.

Subjek No. 1: Marissa
Muda, bergetah. Ligat dan very open-minded.
Laporan 1
Percubaan pertama, tidak berjaya.
Laporan 2
Percubaan kedua, settled.
Tangan aku menggeletar tatkala membaca muka surat yang pertama. Aku teruskan membaca, walau hati ini sudah mula keliru. Apa sebenarnya yang sedang dilakukan oleh Zairul.

Subjek No. 2: Tini
Berusia pertengahan 30-an. Nampak sofistikated tapi sebenarnya tidak.
Laporan 1
Sekali tegur sahaja. Aku tak perlu buat apa pun. Dia datang menyerah diri.
Subjek? Eksperimen? Bahan betting? Hati aku mendidih tahap menggelegak. Panas! Panas! Aku teruskan menyelak muka surat demi muka surat. Macam-macam nama yang keluar. Hinggalah nama aku muncul.
Aku subjek nombor lima belas. Aku selak muka surat seterusnya. Kosong. Tiada subjek yang seterusnya. Aku subjek yang terakhir? Entah apa yang dituliskannya tentang diri aku? Aku tak sanggup untuk membacanya. Hati aku sudah hancur dan luluh.
Jadi aku ini bahan eksperimen? Sungguh aku rasa… harga diri ini terlalu rendah. Air mata aku mengalir tak berhenti. Tiba-tiba aku rasa jijik. Jijik yang amat!
***
Beberapa hari ini aku berperang dengan diri sendiri. Haruskah aku bersemuka dengan dia? Perlukah? Yang paling penting, mampukah aku berhadapan dengan dia? Apa-apapun aku kira aku harus menamatkan semua ini. Kalau tidak ia akan terus membelenggu diri. Aku pejamkan mata aku sejenak. Lantas, aku mendail nombor telefon miliknya.
“Zairul.”
“Nadiya? What a surprise.” Suaranya kedengaran ceria.
“Boleh jumpa Nadiya malam ni?”
“Boleh! Boleh sangat! Zairul pun rindu sangat kat Nadiya. Ingatkan Nadiya dah tak nak ..”
“Jumpa Nadiya kat rumah,” pantas aku memotong kata-katanya. Aku tidak mahu mendengar kerana takut hati ini … argh!
***
45 minit kemudian.
“Nak ke mana?”
“Kita ambil angin. Ada gerai makan di hujung jalan. Kita berjalan kaki ke sana.”
“Okey, tiada masalah,” balas Zairul sebelum memarkirkan keretanya agar tidak menghalang laluan jalan raya.
“Zairul, siapa saya di mata awak?”
“Kenapa Nadiya bertanya begitu?”
Aku diam. Sebenarnya, apa pun jawapan yang keluar dari dua ulas bibirnya itu tidak akan merubah tanggapan aku padanya dan juga keputusan yang telah aku buat sebelum ini.
“Sebab Nadiya bertanya, saya kira saya patut menjawabnya.” Dia berjeda sebelum menyambung. “Kalau ada seribu bintang di langit, salah satu daripadanya itu gugur. Saya ingin menjadi bintang yang gugur itu. Dan gugur untuk menyinari hidup Nadiya.”
Mata aku ditenung dalam-dalam. Dia cuba mencapai jemari aku. Aku pantas melarikan jemari aku sebelum sempat dia menggenggamnya. Dia menarik nafas panjang.
“Sejujurnya Nadiya, bagi saya awaklah wanita itu. Wanita yang saya cari. Wanita yang hilang dalam hidup saya.”
Benarkah begitu? Tiba-tiba aku rasa pedih. Sedih dan aku tidak tahu mengapa. “Bukan saya ini salah seorang daripada yang tersenarai dalam buku ini?” Buku itu aku unjukkan.
Wajahnya menggambarkan kejutan yang amat sangat. “Nadiya, saya…”
“Tidak terkata?”
“Semua itu cuma…”
“Cuma apa Zairul? Perempuan-perempuan dalam senarai ini apa? Bahan eksperimen? Semua ini satu permainan? Hobi masa lapang awak?”
“Saya tidak pernah terlanjur dengan mana-mana perempuan yang ada dalam senarai itu, kalau itu yang awak fikir. Saya berani bersumpah.”
Bolehkah aku percaya dengan sumpah seorang lelaki seperti itu? “Habis itu, untuk apa semua ini? Untuk apa?”
“Nadiya, listen to me… buku itu adalah satu kesilapan. Tapi, saya tidak pernah tersilap menilai awak. Saya tidak pernah tersilap tentang perasaan saya terhadap awak.”
Air mata aku mula menitis. Hati aku yang sedang terluka ini tidak akan bisa menerima sebarang penjelasan pun ketika ini. “Saya akan simpan buku ini, untuk mengingatkan betapa bodohnya saya untuk jatuh cinta pada lelaki seperti awak.”
“Nadiya, please. I am sorry. I really, really am.” Zairul cuba memegang lengan aku tapi aku pantas mengelak.
You better. Please leave.”
***
Aku tiba di resort yang agak popular dengan aktiviti team-building bersama dua puluh sembilan belas orang yang lain. Tiga puluh orang pekerja syarikat yang datangnya dari pelbagai unit, hadir untuk sesi team-building selama tiga hari dua malam di kawasan rekreasi tersebut.
Tepat jam 2 petang. Kami dikumpulkan di dalam sebuah bilik conference. Krew dari kumpulan team-building seramai 4 orang itu sudah bersedia untuk aktiviti pertama. Ketuanya yang sedang memberikan taklimat tampak seperti terkejut ketika melihat aku. Dalam ramai-ramai yang hadir itu, boleh pula matanya terarah pada aku. Apa aku berbeza dari yang lain?
Selesai taklimat dan aktiviti pertama, jamuan ringan disediakan. Aku sedang menuang teh kosong tanpa gula ketika salah seorang daripada krew team-building datang menghampiri aku.
“Hi..” Lelaki yang memakai t-shirt dengan perkataan Coach pada bahagian belakang bajunya itu menegur aku. Ya, ketua krew yang memberi taklimat tadi.
Aku membalas tegurannya itu. “Hi..”
Wajahnya tampak sedikit kecewa melihat reaksi aku. Entah apa yang diharapkan. “You look like someone I knew few years back.”
Really?” Aku bertanya semula sambil mengamati wajahnya. Sungguh aku lupa. Kalau benar, di mana aku pernah menemui dan mengenalinya.
“Nadiya?”
Aku pandang lelaki yang menyebut nama aku itu. Mungkin dia tahu sebab tag nama aku tertulis begitu.
“Begitu cepat melupakan saya?”
Entah bagaimana tiba-tiba wajah Zairul terlintas di ingatan. Serta merta aku menyentuh bibir aku. Dia lelaki itu, lelaki pertama menyentuh bibirku. Lelaki yang cuba aku singkirkan dari hati aku. Tapi, dia kelihatan jauh berbeza. Sangat-sangat berbeza.
You do remember.
Matanya tepat menikam anak mata aku. Terasa bergetar seluruh jiwa. Kenapalah ingatan aku pulih sebegitu cepat.
You still look as sweet as before. Seven year, is a very long period.
Aku tidak terkata. Masih tidak menyangka akan bertembung begini setelah aku menghantar surat perletakan jawatan. Apa dia juga melakukan perkara yang sama? Berhenti kerja di syarikat yang lama. Kalau bukan begitu, tidak mungkin dia akan berada di sini. Mengetuai sesi team-building ini.
“Dah kahwin?”
“Awak?”
Dia senyum segaris. “Saya masih mencari wanita yang hilang itu. Lagipun hati ini pernah terluka.”
Ah! Aku terdiam. Sentimental pula mamat ni.
“Nampaknya saya cuma ada tiga hari..” ayatnya tergantung.
Yup! Tiga hari, rasa macam nak lari jer dari kem bina semangat ni. Aku sudah pusing memikirkan kemungkinan yang berlaku. Aku terbayangkan aku berada di atas kapal yang penuh dengan lanun. Aku ketuanya dan Zairul pula ketua lanun itu. Should I abandon this ship…argh!!
***

Malam ini jadual untuk sesi night walk. Oleh kerana kumpulan syarikat kami untuk sesi ini kurang dari 30 orang, maka sesi tersebut bakal dilaksanakan secara berdua atau berseorangan.
Tepat jam 8 malam, semua peserta yang tiada masalah kesihatan diminta berkumpul di kawasan meletak kenderaan berhadapan dengan pejabat resepsi. Taklimat ringkas diberikan oleh seorang bekas ahli komando yang bertugas menyelenggara keseluruhan sesi night walk tersebut dengan diselia oleh Zairul dan krewnya.
“Bila kita berada di tempat-tempat yang sebegini, jangan bercakap besar. Kita harus menghormati tempat dan kawasan. Bukan bertujuan untuk menakutkan anda tapi pernah juga ada peserta yang tersesat, dan cuma ditemui oleh kami pada keesokkan harinya.”
Beberapa orang peserta kedengaran mengeluh. Aku sendiri sudah seram sejuk. Aku tidak pernah melakukan aktiviti seperti itu, jadi aku rasa sedikit cemas. Manalah tahu kan?
“Sila pegang tali yang disediakan. Kalau boleh jalan seperti biasa. Saya ingatkan sekali lagi sekiranya anda terserempak dengan benda-benda yang tidak sepatutnya… Jangan pandang. Jangan tegur. Jangan tinggalkan sebarang benda yang tidak patut.”
Jangan pandang. Jangan tegur. Aku mengulangnya dalam hati.
Sebelum berlepas pergi, kami ditanya sekali lagi. Manalah tahu ada yang bertukar fikiran. Seperti yang dijangka, ramai juga yang menarik diri. Akhirnya, cuma ada tujuh belas orang sahaja yang sanggup meneruskan cabaran termasuklah aku.
Aku pandang hutan yang gelap itu. Aku diletakkan sebagai peserta yang terakhir. Beberapa  pasangan peserta sudah dilepaskan ke dalamnya. Jarak di antara setiap pasangan dengan pasangan yang lain dianggarkan dalam lima belas minit. Memang cuaca malam itu agak baik. Tiada tanda-tanda akan berlakunya hujan malah bulan juga kelihatan terang benderang.
Masa yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Giliran aku meneroka hutan. Aku menarik nafas. Hati aku mula berdebar-debar.
“Dah bersedia untuk masuk, cik kak?” tanya bekas ahli komando yang menggelar dirinya Tepet itu.
Aku mengangguk.
“Senyum sikit kak!” usik Tepet membuatkan bibir aku automatik melebar.
“Oleh kerana anda tiada pasangan, salah seorang daripada krew akan menemankan anda.”
Aku meneguk air liur. Zairul yang berada berhampiran segera datang menawarkan diri.
“Baiklah, nampaknya bos akan menjaga awak.”
Aku pandang Zairul yang kini berada di belakang aku.
“Jangan takut, this is only a simple task. Lagipun, saya akan berada di belakang awak sepanjang perjalanan.”
Hati aku berdebar-debar lagi. Entah siapa yang lebih menakutkan. Zairul atau benda-benda yang menghuni hutan tersebut.
Setelah sepuluh minit berada di dalam hutan. Zairul bersuara memecah keheningan malam. “Awak, saya minta maaf atas segala yang pernah saya lakukan pada awak.”
Aku senyap. Ketika itu, aku sebenarnya lebih memikirkan keadaan hutan yang gelap dan jalan-jalan yang bakal aku lalui. Ataupun benda-benda yang mungkin akan aku temui. Masih terngiang-ngiang akan kata-kata Tepet. Kalau kamu berfikir yang buruk-buruk, atau memikirkan tentang perkara dan benda yang anda ingin jumpa, dia akan datang. Dalam pelbagai bentuk.
“Saya tahu saya salah. Saya tidak sepatutnya bertindak begitu. Adakalanya action speaks louder than words, if you do understand what I meant.”
“Shhssh..” aku yang cuba fokus pada jalan keluar merasa sedikit terganggu dengan bicara Zairul.
Tapi Zairul masih tidak mahu berhenti. “Saya tidak mahu menipu dengan mengatakan saya tidak terluka bila awak tinggalkan saya begitu. Mungkin awak tak percaya. Terpulang. Tapi, saya tak boleh kawal diri saya bila bersama awak.”
Langkah kaki aku terhenti dan dia melanggar aku tanpa sengaja.
Sorry.
“Beginikah cara seorang ketua memimpin anak buahnya?” aku bertanya sedikit jengkel. Pada fikiran aku, dia kini sedang menguruskan sekumpulan pekerja. Dia sedang bekerja. Mana boleh mencampur adukkan hal peribadi dengan urusan pekerjaan. Lagipun, kalau boleh aku tidak mahu memikirkan tentang kisah lama. Ianya sudah berlalu. Sudah jadi sejarah.
Please stop talking about the past. It’s over.” Selepas berkata begitu, aku meneruskan langkah. Baru langkah pertama, kaki aku tersadung pada akar kayu yang tidak kelihatan. Aku terjerit dan sebelum aku jatuh menyembah bumi dia sempat memaut pinggang aku. Aku jatuh ke dalam dakapannya.
Dalam samar cahaya bulan, dia bertanya. “Like you said just now, the past is over. Can we start fresh again?
***
Bas akan meninggalkan kawasan peranginan tersebut dalam masa setengah jam lagi, kalau aku tidak tersilap dalam perkiraan. Selepas aktiviti terakhir aku bergegas ke bilik penginapan yang menempatkan dua orang peserta dalam setiap bilik. Teman sebilik aku, Kak Aisyah sudah lama bersiap.
“Akak pergi lunch dulu. Akak tunggu kat restoran.”
“Okey,” balasku sambil mengemas pakaian dan barang-barang yang aku bawa.
Ketika aku tiba di restoran yang menyediakan makanan untuk peserta kem, Kak Aishah sudah pun menghabiskan makan tengaharinya. Cuma ada beberapa orang peserta sahaja yang masih mengisi perut. Aku tergesa-gesa mendapatkan nasi dan lauk yang tidak berapa nak banyak untuk aku pilih.
Bunyi wisel dibunyikan. Suapan terakhir melangkah masuk ke dalam mulut. Aku berlari menuruni tangga yang ada di hadapan bas bila aku menyedari yang aku tertinggal sebuah beg sandang kecil di dalam bilik penginapan aku tadi.
Aku berlari semula ke dalam bilik mendapatkan beg sandang kecil itu sambil berharap ada orang yang menyedari aku tidak berada dalam bas tersebut dan bas itu tidak akan beredar selagi aku belum berada di dalamnya.
Ketika aku tiba semula di tempat tadi. Suasana sudah jadi sepi. Tiada lagi hingar bingar peserta yang sibuk menyimpan barang dan mencari tempat di dalam bas. Perkara yang menakutkan aku akhirnya berlaku. Aku ditinggalkan bas. Seorang diri.
“Awak akan balik dengan saya,” satu suara menerjah pendengaran.
Aku pandang pemilik suara yang sudah berdiri di samping. Hati aku bergetar tatkala mata aku bertembung dengan matanya.
Please don’t look at me like I am a bad guy.
Aku meneguk air liur. Kebetulan atau sudah nasib aku?
***
Zairul memasukkan beg aku ke dalam bonet kereta. Kemudian dia membuka pintu di sebelah penumpang sebelum mempersilakan aku masuk.
Sudah sejam perjalanan tapi kami masih saling membisu. Hati aku debak-debuk tidak menentu. Lagu yang sedang berkumandang di corong radio tidak dapat mengurangkan rasa resah itu. Kenapa selepas tujuh tahun berlalu, rasa itu masih ada?
Zairul memperlahankan bunyi radio. Sesekali dia mengerling aku. Adakah dia mahu berkata sesuatu pada aku?
We still share the same feeling right?
Aku pandang dia sekilas sebelum mengalihkan pandangan keluar. Kata-katanya membuatkan aku berfikir. Adakah dia penyebabnya aku tidak menerima lelaki selama tujuh tahun ini?
My heart is beating fast when you are around. Still, every minute you are near.
Dia baca fikiran akukah?
“Tujuh tahun ini saya hidup bagai mengejar bayang-bayang. Saya mengharapkan awak muncul di setiap perjalanan saya. Memaafkan saya juga keterlanjuran yang pernah saya lakukan.”
Dia diam sejenak. Adakah dia mengharapkan aku untuk berkata sesuatu?
“Saya masih di sini atas dorongan itu,” ujarnya lagi.
Aku masih membisu. Dapat kurasakan keresahan pada wajahnya.
“Saya tak boleh berlama-lama dengan awak. Tapi, saya juga tidak boleh berjauhan dengan awak. Macam mana nak buat ni, Nadiya?”
Aku terdiam.
Kereta diberhentikan di tepi jalan.
 “Apa yang harus saya lakukan?”
Aku pandang wajahnya. Matanya yang sendu seperti sarat dengan rindu. Sayu. Dia berlakonkah? Sungguh aku tidak berani menentukannya. “Aa..”
“Nadiya, saya…  saya tak tahu nak cakap apa lagi.. tapi.. sungguh saya menyesal..dan saya akan lebih menyesal kalau saya lepaskan awak sekali lagi.”
Aku pandang wajah itu lagi. Sebahagian diri aku mahu mempercayai kata-katanya.
Please don’t run away from me again. It hurts.”
Benarkah selama ini aku melarikan diri?
“Nadiya.. tolong cakap sesuatu. Please, your silence is killing me inside.”
“Sshhh…jangan cakap banyak.” Aku memejamkan mata mencari sedikit kekuatan. Sesungguhnya aku sendiri tidak mampu menidakkan perasaan yang hadir buat Zairul.
Kalau benar dialah jodoh aku… dan dia ikhlas pada aku. In Sha Allah, jalannya akan dipermudahkan. Bismillah. Sedikit menggeletar suara aku dalam cubaan melafazkan yang tersirat.  “If you are really true, go and see my parents. I will then accept you, on one more condition.
Anything.. name it.
One year, probation.

***
Aku ambil keluar buku itu. Selepas lapan tahun, baru kini aku berani membaca apa yang tertulis tentang diri aku di dalamnya.
Subjek No 15: Azween Nadiya
Laporan 1.
Permulaan yang baik. Dia nampak tidak sombong.
Pucuk dicita ulam mendatang. Kini aku kerja setempat dengan dia. Lagi dekat lagi mudahlah urusan aku.
Laporan 2.
Susah juga nak tackle perempuan ini. Dia tidak seperti perempuan lain yang aku kenal. Sekali-dua tegur sudah boleh di ajak keluar makan.
Laporan 10.
Tidak berjaya. Tapi, sekurang-kurangnya she got my intention.
Laporan 20.
Aku sudah gila nampaknya. Gila bayang. Aku cuma nampak dia di mana-mana.
Laporan 23
She is perfect! Kalau aku dapat dia, sumpah aku tak akan buat benda alah macam ni lagi.
Laporan 25.
Dialah wanita itu. Aku nak dia. Aku nak dia seorang sahaja.
Buku itu aku tutup. Aku berhajat mahu menjadikannya abu lalu membiarkannya menghilang ditiup angin. Aku tahu kalaupun aku melupuskan buku itu, yang tertulis di dalamnya masih akan terpahat di dalam minda. Aku pandang Zairul yang sedang tidur lena. Dia yang kini sudah sah menjadi suami aku. Katanya akulah bintang yang gugur itu. Bintang yang gugur untuk dirinya. Untuk menyinari hidupnya.
Subjek No. 15? Entahlah. Sukar untuk melupakan, sukar juga untuk terus menyimpan dalam hati. Namun seperti yang pernah aku katakan pada Zairul, the past is over. Aku mahu bersikap positif, aku mahu mengambil kira bahawa seseorang itu harus diberikan peluang kedua untuk menebus kesilapannya. Ya, antara bintang yang gugur dan menjadi yang ke-15, aku memilih untuk terus bersinar dan berharap dijaga dengan baik agar sinarnya tidak malap dengan sebegitu cepat. Aamiin. Doakan kami.







4 comments:

Catat Ulasan

Komen pembaca yg comel...;p